Wednesday, April 27, 2022

PAKK2302D SOSIOEMOSI DAN TINGKAH LAKU KANAK-KANAK

SOSIOEMOSI 

TINGKAH LAKU KANAK-KANAK

Ditulis oleh : Hemah A/P Shamugam
Angka Giliran : 2021122370023

PENGENALAN

Emosi adalah satu semangat dalaman yang menggerakkan seseorang individu. Menurut Rainer Reisenzein (2007, seperti dalam Nuur Syafiqah & Najah Nadiah, 2020) emosi itu adalah suatu proses dari segi mental seperti penilaian, kecenderungan tindakan, pengalaman subjektif dan juga tingkah laku seperti tindak balas fisiologi, ekspresi wajah dan juga suara.  Emosi tidak dapat diukur secara empirikal namun implikasi perkembangan emosi seseorang dapat dilihat secara nyata dari segi tingkah lakunya. Kegagalan seseorang mengurus emosi dengan baik akan menjejaskan kualiti hubungan sosial dan kerjanya. Bagi kanak-kanak pula, kegagalan mengurus emosi dengan baik adalah punca berlakunya masalah tingkah laku yang akan mempengaruhi kejayaan mereka dalam pembelajaran. Menurut Mohamad Albaree et al. (2019 seperti dalam Siti Affiza et al. 2021) kanak-kanak sering menunjukkan tingkah laku yang tidak terkawal, tekanan dan kemurungan kerana mereka menghadapi masalah untuk mengawal dan mengurus emosi dengan baik.  Oleh yang demikian, perkembangan sosioemosi yang baik adalah sangat penting dan harus ditekankan sejak kecil lagi selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, jasmani, emosi dan sosial.

 

FAKTOR DAN IMPLIKASI PERKEMBANGAN SOSIOEMOSI DAN TINGKAH LAKU

Peranan ibu bapa atau keluarga dalam membentuk perkembangan sosioemosi kanak-kanak amat signifikan. Menurut Zakaria Stapa (2012, seperti dalam Hazeyzul 2018), menyatakan bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam mencorak dan membentuk asas-asas perkembangan diri seseorang anak. Ini menunjukkan asuhan dan didikan ibu bapa di rumah menjadi penentu dalam pembentukkan imej kendiri kanak-kanak disamping memberi kesan kepada perkembangan sosioemosi mereka.

Berdasarkan Teori Perkembangan Psikososial Erikson terdapat lapan peringkat yang perlu diatasi oleh seseorang untuk membentuk perkembangan sosioemosi yang baik. Kejayaan mengatasi sesuatu krisis dalam setiap peringkat akan membentuk kualiti yang positif manakala kegagalan mengatasi krisis pula akan membentuk kualiti yang negatif dan menjejaskan perkembangan pada tahap berikutnya.

Kita sering perhatikan bahawa kanak-kanak dalam lingkungan usia 2 hingga 3 tahun akan berusaha untuk melakukan sesuatu dengan usahanya sendiri tanpa bantuan orang dewasa. Misalnya, kanak-kanak cuba untuk memakai kasut atau pakaian dengan sendiri. Ada juga kanak-kanak yang ingin makan menggunakan sudu dan garpu dengan sendiri. Berdasarkan Teori Perkembangan Psikososial Erik Erikson kanak-kanak ini berada pada peringkat kedua iaitu peringkat autonomi lawan ragu-ragu di mana jika kanak-kanak ini berjaya mendapatkan sokongan dan galakkan akan mempunyai keyakinan diri. Manakala kanak-kanak yang tidak mendapat sokongan dan galakkan akan mula ragu-ragu terhadap keupayaan diri sendiri. Maka pada peringkat ini ibu bapa harus memberikan sokongan kepada kanak-kanak untuk cuba memakai kasut atau pakaian dengan sendiri. Pertolongan hanya diberikan kepada kanak-kanak apabila perlu. Kanak-kanak yang berjaya mengatasi konflik dalam peringkat ini akan bergerak ke peringkat seterusnya. Tetapi perkembangan pada peringkat seterusnya akan terjejas bagi kanak-kanak yang gagal mengatasi konflik di peringkat ini dengan baik. Di mana pada peringkat seterusnya kanak-kanak berumur 4 hingga 5 tahun akan menunjukkan inisiatif untuk berdikari. Contohnya kanak-kanak akan cuba untuk membersihkan tempat makannya sendiri atau menyidai kain dan sebagainya. Kanak-kanak yang berjaya mengatasi konflik dalam peringkat kedua akan menunjukkan inisiatif manakala kanak-kanak yang gagal tidak akan menunjukkan inisiatif untuk berdikari sebagai kesan daripada sikap ragu-ragu yang timbul di peringkat kedua. Oleh yang demikian ibu bapa harus memainkan peranan dengan betul supaya kanak-kanak dapat mengatasi setiap peringkat dengan baik. Ibu bapa tidak harus mengongkong kanak-kanak daripada melakukan sesuatu dengan sendiri mahupun mengkritik usaha kanak-kanak. Sebaliknya ibu bapa harus sentiasa sedia memberi galakkan dan kritikan yang membina. Contohnya apabila kanak berusaha untuk memakai kasut dengan sendiri ibu bapa sepatutnya membenarkan kanak-kanak untuk mencuba. Sekiranya kanak-kanak tidak berjaya ibu bapa harus menunjukkan cara memakai kasut kepada kanak-kanak dan memberi galakkan untuk mencuba lagi. Ibu bapa harus mengelakkan daripada bersikap authoritarian kepada kanak-kanak sehingga sentiasa tidak membenarkannya untuk membuat keputusan ataupun mengkritik apabila usahanya gagal kerana ini akan menyebabkan kanak-kanak memberontak atau kurang motivasi dan seterusnya menjejaskan perkembangan sosioemosi mereka. Maka jelas di sini bahawa, cara asuhan dan didikan ibu bapa memainkan peranan penting dalam perkembangan sosioemosi kanak-kanak.

Selain asuhan dan didikan, perapatan juga dapat mempengaruhi perkembangan sosioemosi dan tingkah laku seseorang kanak-kanak. Perapatan ditakrifkan sebagai hubungan emosi yang terhasil sejak lahir melalui interaksi dengan individu terdekat yang kebiasaannya ialah ibu. Ibu yang mempunyai hubungan perapatan yang selamat dengan bayi sentiasa sensitif pada kehendak bayi dan konsisten dalam perlakuannya. Contohnya, apabila bayi menangis ibu akan mendapatkan bayi dan memenuhi kehendaknya yang samada kelaparan, lampin basah atau rasa tidak selamat. Hubungan perapatan ini mewujudkan rasa selamat dan terlindung pada bayi dari persekitarannya. Menurut Flaherty & Sadler (2010, seperti dalam Siti Hajar et al. 2018), perapatan yang selamat dan kukuh juga memberi kesan positif ke atas kognitif, emosi, dan tingkah laku untuk jangka masa panjang. Misalnya kanak-kanak akan dapat mengekspresi diri dengan baik, boleh menyatakan perasaannya dengan berani dan mempunyai daya tahan yang tinggi. Manakala jika hubungan perapatan antara bayi dan ibu adalah jenis mengelak, perkembangan sosioemosinya akan terjejas. Ibu yang mempunyai hubungan perapatan mengelak biasanya akan mengelakkan diri daripada bayi dan tidak sensitive pada kehendaknya dimana ibu tidak akan menghiraukan tangisan bayi. Ini mewujudkan rasa tidak selamat dan tidak dihargai oleh bayi dan seterusnya akan mengelak untuk menjalinkan hubungan dengan individu lain kelak. Ini membuktikan mengapa sesetengah kanak-kanak sentiasa mendiamkan diri dan bersendirian.

Selain ibu bapa dan keluarga proses sosialisasi yang berlaku dengan persekitaran juga mempengaruhi pembentukan perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Faktor persekitaran boleh dibahagikan kepada beberapa bahagian seperti rakan sebaya, guru dan sekolah, sumber teknologi, media dan pusat ibadat.

Interaksi sosial kanak-kanak dengan rakan sebaya banyak berlaku sewaktu bermain dan ini merupakan cara kanak-kanak belajar menjalinkan perhubungan dengan orang lain mengikut cara yang diterima oleh masyarakat. Interaksi sosial bersama rakan sebaya khasnya penerimaan dan penolakkan mempengaruhi perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Misalnya, apabila seseorang kanak-kanak itu diterima untuk bermain dalam kumpulan, dia akan membentuk imej kendiri dan harga diri yang positif. Manakala jika dia tidak diterima untuk bermain atau diasingkan, ini akan membentuk imej kendiri dan harga diri yang negatif dalam kanak-kanak. Berdasarkan Teori Pembelajaran Sosial Albert Bandura pula, sesuatu tinngkah laku biasanya lahir dari interaksi manusia dengan persekitaran melalui peniruan. Kanak-kanak pada kebiasaannya belum pandai untuk mengekspresi dan mengawal pelbagai jenis emosi. Menurut Levine & Munsch (2014, seperti dalam Jusiah et al. 2021) kanak-kanak belajar bersimpati dan berempati, cuba memahami emosi dengan cara melihat reaksi persekitaran, berusaha meluahkan emosi dengan menggunakan pelbagai medium, serta mempelajari regulasi emosi serta pengawalan kendiri. Kanak-kanak banyak belajar melalui pemerhatian yang dilakukannya terhadap persekitaran. Contohnya, kanak-kanak memerhatikan tindakan rakan sebayanya yang membuang barang permainan apabila marah atau tidak puas hati. Jika rakan itu tidak mendapat peneguhan negatif dan diberikan barang permainan kegemarannya, maka kanak-kanak ini akan cuba untuk meniru tingkah laku yang sama. Jika sebaliknya rakan itu mendapat peneguhan negatif sebagai akibat membuang barang permainan, maka peniruan tingkah laku tidak akan berlaku kerana kanak-kanak akan faham bahawa tingkah laku itu salah dan tidak boleh ditiru. Menurut Haliza dan Joy, (2009 seperti dalam Jusiah et al. 2021), pengaruh rakan sebaya yang tidak dikawal dan ditapis boleh mendatangkan masalah disiplin lain dan seterusnya membentuk dinamika kumpulan yang mempunyai nilai dan kecenderungan yang sama. Pendek kata, pengaruh rakan sebaya yang tidak baik akan menjejaskan perkembangan sosioemosi kanak-kanak.  

Seperti rakan sebaya guru juga dapat mempengaruhi perkembangan sosioemosi dan tingkah laku kanak-kanak. Guru adalah agen sosialisasi dan agen pelaksana yang dapat membantu perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Seperti yang diketahui kanak-kanak masih belum menguasai kemahiran sosioemosi. Perkembangan sosioemosi yang kurang baik menjadikan kanak-kanak lebih cenderung untuk mengalami tekanan yang akan ditunjukkan melalui masalah tingkah laku. Maka peranan guru sangatlah tinggi untuk mengajar kanak-kanak kemahiran sosioemosi seperti yang disarankan oleh Center on the Social and Emotional Foundations for Early Learning (CSEFEL) dan Collaborative for Academic, Social and Emotional Learning (CASEL). Kita sering melihat kanak-kanak mengharapkan perhatian daripada ibu bapa dan guru. Kanak-kanak yang kurang mendapat perhatian akan cuba untuk mendapatkannya melalui tingkah laku mereka. Ini kerana kanak-kanak masih belum mahir mengurus emosi mereka dengan betul. Oleh sebab itu, guru harus memainkan peranan dengan baik dalam usaha menangani masalah tingkah laku dalam bilik darjah. Guru perlu peka kepada keperluan kanak-kanak seperti makan, minum, kasih sayang, perhatian, rasa selamat, rehat yang cukup dan masa untuk bermain dan berinteraksi. Apabila semua keperluan murid dipenuhi kanak-kanak akan lebih bermotivasi dan bersedia untuk belajar. Sebaliknya, apabila ada keperluan mereka yang tidak dipenuhi maka timbul masalah tingkah laku di dalam bilik darjah akibat tidak pandai dalam mengurus emosi. Selain itu, guru juga perlu menjadi role model kepada kanak-kanak untuk dicontohi. Ini kerana kanak-kanak kerap meniru perlakuan guru. Menurut Albert Bandura, kanak-kanak akan cuba untuk meniru perlakuan individu yang lebih berkuasa daripadanya seperti ibu bapa dan guru. Maka sangat penting untuk guru mengekalkan emosi yang stabil dalam apa jua keadaan dan menunjukkan perilaku yang boleh dicontohi kanak-kanak dalam keadaan yang mencabar. Contohnya, guru harus mengelakkan daripada menengking atau memarahi kanak-kanak yang mempunyai masalah tingkah laku. Sebaliknya cuba untuk mengawal keadaan menggunakan teknik kawalan yang baik seperti menetapkan peraturan bilik darjah dan memberikan ganjaran atau peneguhan yang setimpal dengan perlakuan kanak-kanak. Selain itu guru juga boleh menjalinkan hubungan yang baik dengan kanak-kanak melalui interaksi dalam bilik darjah. Misalnya, interaksi antara guru dan kanak-kanak semasa sesi Pdp akan mewujudkan kesan yang positif sekaligus mengurangkan masalah tingkah laku dalam bilik darjah.  Maka jelas bahawa guru memainkan peranan penting dalam perkembangan sosioemosi kanak-kanak.

AKTIVITI YANG MEMBANTU PERKEMBANGAN SOSIOEMOSI KANAK-KANAK

Memandangkan perkembangan sosioemosi sangat penting dalam pembentukkan imej kendiri positif dan kejayaan dalam pembelajaran, terdapat beberapa aktiviti boleh dijalankan di pusat pendidikan awal kanak-kanak untuk mengembangkan kemahiran sosioemosi. Berikut adalah beberapa aktiviti yang dapat meningkatkan kemahiran sosioemosi kanak-kanak.

1. Bercerita.

            Kanak-kanak sangat gemar akan aktviti bercerita. Acap kali kanak-kanak meminta ibu bapa untuk bercerita. Guru mahupun ibu bapa boleh melakukan aktiviti bercerita untuk mengajar kanak-kanak kemahiran sosioemosi. Terdapat beribu-ribu buku di pasaran yang mempunyai watak dan jalan cerita yang menarik untuk mengajar kemahiran sosioemosi kepada kanak-kanak. Disamping mempelajari kemahiran sosioemosi kanak-kanak juga dapat mempelajari nilai murni seperti tolong menolong, baik hati, Kerjasama dan semangat bermasyarakat melalui cerita.



2. Membina mahkota imej kendiri.

Image result for DIY Princess Crown Paper            Aktiviti seni dan kraf tangan adalah sesuatu yang sentiasa menarik untuk kanak-kanak. Kanak-kanak menghasilkan mahkota “cardboard” yang cantik untuk dirinya dan menulis ayat yang positif tentang dirinya. Guru boleh memberikan idea kepada kanak-kanak dengan memberikan beberapa contoh ayat seperti “I am helpful”, “I am caring”, “I am beautiful” dan sebagainya. Guru boleh mengambil kesempatan untuk membentuk imej kendiri yang positif dalam diri kanak-kanak melalui aktiviti ini. Selain itu aktiviti ini juga memberi ruang kepada kanak-kanak untuk membina keyakinan dan harga diri yang tinggi.

 



 

3. “Kindness Jar”

            Aktiviti “Kindness Jar” adalah aktiviti yang sangat mudah dan menarik untuk kanak-kanak yang berumur 5 atau 6 tahun. Guru perlu menyediakan balang yang dihiasi dengan tulisan “Kindness Jar” berserta nama kanak-kanak di atasnya dan beberapa helai kertas kecil yang berwarna-warni. Kanak-kanak perlu menulis satu kualiti baik seperti menolong rakan, berkongsi makanan, sentiasa senyum dan sebagainya yang ada pada rakan di atas kertas dan memasukkannya ke dalam balang rakan. Guru dan kanak-kanak duduk bersama-sama dan membaca mesej dalam balang. Aktiviti ini sangat membantu kanak-kanak untuk mengenali diri sendiri dan rakan-rakannya. Disamping itu aktiviti ini juga dapat memupuk nilai baik hati dalam kanak-kanak.   

ANALISIS PERANAN GURU

Menurut Suziyani (2021), Penguasaan kemahiran sosioemosi yang baik diperingkat awal usia adalah penting. Kepentingan perkembangan sosioemosi kanak-kanak tidak boleh dipandang remeh kerana kemahiran sosioemosi yang dikuasai kanak-kanak menjamin kejayaan dalam mengharungi cabaran hidup kelak dengan sikap positif. Oleh yang demikian, guru memainkan peranan yang sangat besar dalam membentuk perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Maka sangat penting untuk guru pendidikan awal kanak-kanak melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran tentang perkembangan sosioemosi kanak-kanak. Menurut Suziyani (2021), lagi dengan adanya latihan yang mencukupi, guru pendidikan awal kanak-kanak di sana lebih bersedia untuk menjalankan pembelajaran sosioemosi dan dalam masa yang sama berjaya mencipta suasana pembelajaran yang naturalistik.

Guru harus lebih mengambil berat terhadap keperluan kasih sayang dan perhatian kanak-kanak. Guru perlu mewujudkan hubungan yang rapat dengan semua kanak-kanak melalui interaksi dalam bilik darjah. Misalnya, guru harus sentiasa bertanyakan perasaan kanak-kanak dan membantunya mengurus perasaan itu dengan baik. Jika ada kanak-kanak yang tidak hadir ke sekolah guru boleh menelefon dan bertanyakan khabar dengan ibu bapa ataupun dengan kanak-kanak sendiri selepas cuti. Ini membuatkan kanak-kanak rasa dirinya disayangi dan dihargai.

Selain itu guru harus lebih menggunakan pendekatan berpusatkan murid dalam pdp supaya kanak-kanak dapat melibatkan diri secara aktif dalam bilik darjah. Ini akan meningkatkan kemahiran sosial kanak-kanak kerana ada interaksi dua hala. Contohnya, banyak aktiviti dalam kumpulan yang memerlukan perbincangan dan kerjasama antara ahli. Kanak-kanak akan belajar kemahiran sosioemosi seperti menghormati pendapat dan perasaan orang lain, menunggu giliran, empati dan sebagainya.   

            Konklusinya, guru pendidikan awal kanak-kanak memikul tanggungjawab yang sangat besar dalam membentuk perkembangan sosioemosi kanak-kanak.

  

 

RUJUKAN

 

Hazeyzul. (2018). Pengaruh Faktor Persekitaran Ke Atas Perbezaan Perkembangankanak-Kanak. PENGARUH FAKTOR PERSEKITARAN KE ATAS PERBEZAAN PERKEMBANGAN KANAK KANAK | Hazeyzul H - Academia.edu

 

Jusiah Idang, Hanisah Halim, Murnizam Halik & Sabariah Sharif. (2021) Isu Sosioemosi dalam kalangan Pelajar Sekolah Rendah di Negeri Sabah. 661-2516-1-PB.pdf (ukm.my)

 

Nur Diyanah Hasan & Syaza Hazwani Zaini. (2021). Penerapan Kemahiran Sosial Terhadap Kanak-Kanak Melalui Aktiviti Main Peranan. (PDF) PENERAPAN KEMAHIRAN SOSIAL TERHADAP KANAK-KANAK MELALUI AKTIVITI MAIN PERANAN Application of Social Skills to Children through Role-Playing Activities (researchgate.net)

 

Nuur Syafiqah Abirerah & Najah Nadiah Amran. (2020). Kestabilan Emosi dan Cabaran Kehidupan Golongan Armalah. 106-217-1-SM.pdf (ukm.my)

 

Rorlinda Yusof, Noriah Mohd Ishak, Jamaliah Hamdan, Aishah Hassan, Afifah Mohd Radzi & Tengku Elmi Azlina Tengku Muda. (2017). Kajian Isu-Isu Sosio-Emosi Dalam Kalangan Pelajar Pintar Dan Berbakat Di Malaysia. (PDF) KAJIAN ISU-ISU SOSIO-EMOSI DALAM KALANGAN PELAJAR PINTAR DAN BERBAKAT DI MALAYSIA STUDY ON SOCIO-EMOTIONAL ISSUES AMONG GIFTED AND TALENTED STUDENT IN MALAYSIA (researchgate.net)

 

Suziyani Mohamed. (2021). Pembelajaran Sosioemosi Di Prasekolah: Tahap Pengetahuan dan Amalan Guru. https://myjms.mohe.gov.my/index.php/jdpd/article/download/14125/7255/